BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 28 Februari 2010

Sistem Pendidikan


Sistem Pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan yang ketara. Pelbagai kaedah baru telah diperkenalkan dan digunakan supaya pengajaran dan pembelajaran guru terhadap pelajar menjadi lebih berkesan dan bermakna kepada murid. Sejak beberapa tahun yang lalu, Kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ( PBK ) telah mula diperkenalkan dan kini dengan era teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih, ia semakin mendapat perhatian dari pelbagai pihak terutama Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkembangan dalam teknologi multimedia telah menjanjikan potensi besar dalam merubah cara hidup seseorang terutama sekali pelajar sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi untuk mereka belajar, mendapatkan maklumat, dan kaedah untuk mengadaptasikan maklumat dengan diri mereka. Multimedia juga dapat memberi peluang kepada pendidik untuk mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran kepada pelajarnya dan pelajar pula diberi kuasa kawalan bagi sesuatu sesi pembelajaran. Pelajar juga berpeluang menentukan teknik belajar yang bersesuaian dengan diri mereka, membentuk pengetahuan berdasarkan keperluan masing-masing serta mengalami suasana pembelajaran yang lebih berkesan dan menarik. Sumber maklumat serta rujukan yang mereka perolehi juga bukan lagi terikat dalam bentuk teks dari buku semata-mata tetapi lebih meluas dari itu seperti Audio, Visual, Grafik dan sebagainya. Kehadiran teknologi multimedia menerusi Internet menambahkan lagi kemampuan memproses capaian maklumat dalam pelbagai bentuk dan pendekatan boleh dicapai dengan lebih mudah, pantas dan berkesan kepada mereka.


Mengapa perlunya penggunaan komputer dalam pendidikan ? Dalam kaedah pengajaran guru kepada pelajar sebelum ini ia telah menjanjikan kejayaan yang tidak boleh disangkal lagi namun demikian ianya juga membawa pelbagai masalah dan kekangan sama ada kepada guru sendiri atau pelajarnya. Dalam pengajaran sebelum ini, komunikasi sehala banyak berlaku antara guru dan pelajar yang mana hanya guru memainkan tugas utama sebagai penyalur maklumat manakala pelajar hanya perlu duduk, mendengar dan mencatatkan isi penting yang diperlukan. Keadaan sebegini sememangnya boleh mengurangkan minat pelajar terhadap matapelajaran yang diajar oleh guru tesebut dan seterusnya mengkategorikan ianya sebagai satu matapelajaran yang sukar difahami kerana tiadanya persembahan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan seperti penggunaan multimedia. Keadaan ini menyebabkan pembelajaran tersebut terlalu bosan dan sukar untuk difahami oleh pelajarnya.


Selain itu, jumlah pelajar yang terlalu ramai bagi sesebuah kelas juga ada kalanya akan menyebabkan kurangnya interaksi di antara pelajar dan guru disebabkan oleh kepadatan tersebut. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang pelajar yang pasif di dalam kelas akan menjadi lebih pasif. Di samping itu, interaksi pelajar dengan matapelajaran yang di ajar oleh guru menjadi terbatas. Ini memandangkan adalah agak sukar untuk seseorang guru mengajar mengikut keperluan pelajarnya serta memenuhi tahap keupayaan pembelajaran setiap pelajar dibawah bimbinginnya. Pelajar juga sukar untuk menentukan sejauh mana mereka boleh memahami pengajaran guru mereka.


Dalam sistem pendidikan ini juga,proses pengajaran dan pembelajaran hanya melibatkan dua entiti utama sahaja iaitu di antara guru dan pelajar. Di samping itu, ia juga lebih banyak menggunakan konsep hafalan terhadap fakta-fakta yang diberikan oleh guru. Kaedah sebegini sebenarnya menimbulkan banyak masalah terutama untuk pelajar mengingat fakta yang terlalu banyak dan tidak banyak dokumen bertulis yang boleh dirujuk mengenainya apabila diperlukan. Penyediaan alat bantu mengajar bagi pengajaran tradisi juga adalah terhad kepada bahan-bahan yang statik sifatnya. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan minat para pelajar terhadap pembelajaran tersebut.


Pada masa kini kehadiran komputer serta teknologi multimedia yang moden di dalam bidang pendidikan mampu membantu meringankan beban serta kekangan yang sedia ada wujud di dalam pembelajaran tradisi. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer terhadap pelajar, penggunaan komputer ini telah menumpukan kepada cara dan strategi persembahan maklumat yang digunakan bagi memindahkan ianya kepada ilmu pengetahuan yang bermakna serta bermanafaat kepada pelajar. Di dalam pengunaan komputer ini, teks isi pelajaran yang panjang boleh diringkaskan atau dipersembahkan semula menggunakan media-media yang lebih menarik dan bersifat lebih dinamik. Penggunaan pelbagai media dalam proses penyampaian maklumat juga melahirkan persembahan yang lebih menarik serta mampu merangsangkan minda pelajar selain dari faktor yang tidak membosankan. Soalan-soalan latihan juga turut dimuatkan selepas setiap bahagian agar pelajar dapat menilai tahap kefahamannya, disamping memperkukuhkan pembelajaran kepada pelajar.


Disebabkan pelbagai kemudahan serta keistimewaan yang ditawarkan oleh komputer, penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah berjaya menarik minat ramai pihak. Ia juga telah memberi kesan terhadap corak pendidikan pada masa ini dan juga masa-masa akan datang. Terdapat kemungkinan di mana suatu masa nanti pengajaran tradisi yang selama ini yang hanya menggunakan buku, kapur dan papan hitam akan diambil alih fungsinya oleh komputer dan teknolohi lain yang setara dengannya. Namun demikian, peranan guru masih kekal kerana tidak mungkin teknologi boleh menggantikan peranan yang dimainkan oleh guru sepenuhnya. Ia hanya bertindak sebagai alat yang digunakan bagi membantu para guru memperluaskan lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi menghasilkan satu pembelajaran yang lebih berkesan dan bermakna kepada pelajar nanti.


Teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) dalam pendidikan di Malaysia, dan pada kehidupan masa kini tidak dinafikan lagi keberkesanannya. Sistem pendidikan negara juga tidak terkecuali dalam arus perubahan ini dan bagi memastikan negara mampu untuk terus bersaing dalam era teknologi maklumat dan komunikasi ini pelbagai perancangan, usaha dan strategi perlu dilaksanakan. Perlaksanaan konsep Sekolah Bestari iaitu salah satu aplikasi perdana di dalam Koridor Raya Multimedia memperlihatkan usaha kerajaan yang berterusan bagi membentuk satu generasi baru yang mempunyai daya saing yang tinggi di dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Selain dari itu, pada penghujung tahun 1998, mata pelajaran teknologi maklumat ( MPTM ) telah diumumkan untuk ditawarkan dalam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2000 sebagai satu mata pelajaran pilihan dalam kurikulum bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ). Sehubungan dengan ini, Kementerian Pendidikan telah memutuskan untuk menawarkan MPTM secara percubaan di 15 buah sekolah menengah pada tahun 1999. Pada tahun 200, bilangan sekolah ini ditambah sebanyak 30 buah lagi dan semua ini merupakan antara strategi kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan pelajar-pelajar yang mampu mengahadapi cabaran dalam era teknologi maklumat dan komunikasi.


Tindakan kerajaan meluluskan pakej rangsangan bernilai RM 4.3 billion termasuk RM 300 juta bagi pembinaan makmal-makmal komputer di 2000 sekolah merupakan antara tindakan susulan yang memperlihatkan pembangunan positif ke arah peralihan Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. ( Utusan Malaysia , 27 September 2001 ). Selain dari itu, kerajaan juga telah mengarahkan agar kesemua maktab perguruan seluruh negara dilengkapi jaringan teknologi maklumat dan komunikasi menjelang berakhirnya Rancangan Malaysia Kelapan ( RMK 8 ) pada tahun 2010 ( Utusan Malaysia, 7 Disember 2001 ). Ini bagi memastikan pendedahan dan seterusnya penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan bakal guru dapat dilaksanakan agar ia selari dengan pelaksanaan serta perkembangan pesat yang sedang berlaku di peringkat sekolah.


Penggunaan perisian multimedia pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga mendapat perhatian dari pihak kerajaan dan ianya makin ketara pada tahun 2001. Apabila penggunaan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di Sekolah dilaksanakan, perisian multimedia pendidikan semakin diyakini keberkesanannya dalam membentu para guru dan juga pelajar untuk belajar dengan lebih bermutu dan berkesan. Berbekalkan komputer riba atau Notebook dan projektor LCD yang dibekalkan, para guru boleh memanfaatkan teknologi ini secara maksimum di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Dengan pelbagai rangsangan serta sokongan dari pelbagai pihak yang berkaitan,ia menimbulkan satu persoalan yang perlu dijawab iaitu adakah pihak guru telah benar-benar bersedia, berkeyakinan serta berkemampuan untuk menyamai arus pemodenan ini? Adakah program pendidikan perguruan sama ada di maktab perguruan mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi mampu membekalkan guru-guru yang mampu memikul aspirasi negara seperti mana yang diperlukan ?


Teknologi Multimedia dan Internet dalam Pendidikan kebanyakan perisian atau aplikasi bagi tujuan pembelajaran berbantukan komputer sebelum ini dikatakan masih lagi menggunakan teknik-teknik pengajaran tahun 50’an, yang mana masih terikat dengan psikologi pembelajaran jenis tingkah laku ( behaviorisma ) . Dalam erti kata lain, apa yang diperolehi buat masa ini ialah buku teks yang secara tradisi digunakan telah dipindahkan kepada bentuk atau konsep baru iaitu sebagai buku teks elektronik. Komputer hanya berperanan sebagai pembuka helaian atau muka surat. Perisian sebegini sememangnya telah terbukti menerusi kajian yang kurang berkesan memandangkan cirinya yang linear, berjujukan serta kurang menarik. Ianya juga didapati sukar atau gagal menarik perhatian serta minat pelajar untuk terus mendalami sesuatu isi pelajaran yang ingin disampaikan.


Perkembangan pesat dalam teknologi multimedia dan juga teknologi internet sedikit sebanyak telah berjaya membawa nafas baru dalam dunia pendidikan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi. Ianya menawarkan pelbagai keistemewaan yang tidak pernah diperolehi menerusi teknologi sebelumnya. Gabungan kedua-dua teknologi ini pula seterusnya semakin merancakkan lagi penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan.


Aras Penggunaan Multimedia dalam Pendidikan Interaksi di antara manusia dan komputer sebelum ini tidak sepenuhnya asli atau natural memandangkan kebanyakkan interaksi hanyalah berasaskan teks. Pendidikan masa kini juga mempunyai persamaan di mana ianya lebih tertumpu kepada penggunaan teks sama ada dalam bentuk perkataan ataupun nombor. Walaupun secara dasarnya, kita telah biasa dan serasi menggunakan cara ini namun kadangkala timbulnya masalah apabila terdapatnya bahagian-bahagian yang sukar untuk diterangkan atau difahami apabila hanya teks sahaja yang digunakan. Ini semua mewujudkan sempadan dalam sistem komunikasi manusia. Dalam kehidupan sebenar, kita juga menjalani kehidupan yang penuh dengan elemen atau media-media komunikasi yang lains seperti bunyi dan juga paparan imej atau grafik sama ada berbentuk statik atau dinamik. Ini juga menyebabkan wujudnya sempadan di antara apa yang dialami di dalam kehidupan sebenar seseorang dengan proses pendidikan yang dialaminya. Multimedia juga berupaya menangani permasalahan ini dengan menyelitkan unsur-unsur yang melibatkan penggunaan pelbagai deria seperti audio, video, animasi, teks dan grafik ke dalam satu medium komunikasi. Sebagai contoh, cuba kita lihat mana-mana buku teks atau buku rujukan di sekolah yang kita miliki. Tidak kira walau berapa ribu atau juta warna yang digunakan, buku tersebut masih gagal mengatasi kelebihan yang ditawarkan di dalam sesebuah sistem multimedia.


Pembangunan teknologi multimedia yang menekankan kepada unsur-unsur pembelajaran interaktif juga telah membawa persepsi baru dalam era penggunaan komputer dalam bidang pendidikan. Kebanyakkan aplikasi multimedia interaktif juga mula mengambil kira teori-teori pembelajaran atau yang berkaitan dengannya berdasarkan suasana dan keperluan semasa. Secara amnya, pendidikan melalui multimedia haruslah menekankan kepada proses bagaimana seseorang itu belajar. Pendidikan melalui multimedia sewajarnya mempunyai dasar atau panduan khusus yang dijadikan landasan. Disamping itu, pendidikan multimedia haruslah menjurus ke arah pendidikan atau pembelajaran dan menggunakan ideologi tertentu serta dikukuhkan dengan penggunaan pelbagai jenis media yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajarnya. Juga tidak ketinggalan bahawa perlunya unsur interaktif dan reka bentuk yang menarik bagi menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna dan juga lebih berkesan kepada pelajar khususnya.


Kajian mengenai penggunaan Teknologi Multimedia Interaktif dalam Pendidikan


Seperti apa yang dibincangkan sebelum ini, perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi multimedia interaktif turut memberi kesan kepada sistem pendidikan khususnya dari aspek pengajaran dan pembelajaran. Proses penyampaian sesuatu maklumat yang lebih efektif hasil daripada penggunaan pelbagai jenis media seperti teks, audio, video, grafik dan animasi merupakan antara kelebihan penggunaan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, elemen-elemen di dalam multimedia juga menyokong penggunaan pelbagai sensor ( multi-sensory ) serta mampu merangsangkan penggunaan pelbagai deria manusia. Multimedia juga turut menyediakan kemudahan interaktiviti dan membenarkan pengguna mengawal perjalanan dan masa media yang digunakan ( Vaughhan, 1998 ). Penggunaan teknologi multimedia ini dalam bidang pendidikan juga membolehkan informasi dalam jumlah yang besar disalurkan untuk kegunaan pelajar. Informasi tersebut pula boleh dicapai serta digunakan mengikut penetapan masa dan tempat pelajar itu sendiri ( Albion, 1998 ). Multimedia juga dikatakan mampu menjadi medium komunikasi yang positif dan efektif kerana melalui teks, audia, video serta animasi yang pelbagai warna dan corak mampu dipaparkan di dalam sebuah skrin pada suatu masa yang sama. Disamping itu juga, penggunaan media interaktif juga ternyata mampu menarik perhatian serta mudah untuk difahami berbanding penggunaan bahan-bahan yang statik dan bisu ( Vaughan, 1998 ). Pengguna yang tertarik akan memberi lebih penumpuan pada persembahan isi kandungan atau maklumat yang ingin disampaikan dan seterusnya ini akan membolehkan proses penyampaian maklumat berlaku dengan lebih berkesan dan mudah. Semua ini menguatkan lagi rasional yang menyatakan bahawa multimedia amat sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar.


Kajian juga mendapati bahawa penggunaan teknologi multimedia telah mendapat maklum balas yang positif daripada pelajar dari pelbagai disiplin ilmu bagi pelbagai peringkat usia. Ianya juga mampu menyokong pembelajaran yang bersifat penyelesaian masalah, membentuk dan menguji hipotesis, penilaian berasaskan keupayaan serta meningkatkan kreativiti pelajar ( O’Connor dan Brie, 1994 ). Multimedia interaktif juga telah terbukti berkesan dalam membentuk serta mengekalkan maklumat untuk tempoh masa yang panjang dan ianya boleh dicapai kembali dalam masa yang lebih pantas berbanding kaedah pengajaran tradisi ( Ng dan Komiya, 2000; Hofstetter, 1995 ). Selain dari itu, penggunaan elemen-elemen multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga di dapati mampu menarik minat pelajar supaya mereka tidak merasa bosan dan dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pembelajaran ( Thomas, 1996 ). Penggunaan elemen-elemen dalam multimedia juga di dapati berkeupayaan untuk membentuk kefahaman serta kemahiran seseorang pelajar pada peringkat yang lebih tinggi. Ini memandangkan pendekatan berasaskan multimedia yang menyediakan maklumat yang lebih kepada pelajar dapat membantu dalam pembentukan corak ingatan yang lebih kompleks. Ini seterusnya membantu atau memudahkan proses capaian maklumat tersebut di masa hadapan apabila diperlukan dalam menyelesaikan masalah atau menangani keperluan yang lain. Quinn ( 1993 ) dan Palincsar ( 1995 ) misalnya telah mendapati bahawa penggunaan simulasi berkomputer di dalam proses pembelajaran mampu meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberikan dengan lebih berkesan. Ini memandangkan mereka berpeluang untuk melakukan latihan dan seterusnya membentuk kemahiran berfikir pada aras yang lebih tinggi. Pernyataan tersebut disokong oleh kajian Farrimond dan rakan-rakan ( 1997 ) yamg telah memanfaatkan teknologi multimedia terkini untuk memindahkan kaedah pembelajaran secara kajain kes tradisi kepada simulasi berkomputer. Kaedah ini mampu memaparkan situasi yang mewakili kehidupan sebenar bagi tujuan kajian pelajar. Mereka mendapati kaedah tersebut membolehkan pelajar membangunkan kefahaman mereka terhadap pembelajaran yang lebih efektif. Simulasi berkomputer juga mampu meningkatkan motivasi, mengurangkan berlakunya salah konsep dalam pembelajaran, mengintegrasikan informasi dengan berkesan serta meningkatkan peluang berlakunya pembelajaran yang lebih bermakna ( Mayes, 1992 ).


Menggunakan multimedia dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran juga dikatakan menggalakkan pelajar untuk menjadi seorang yang mampu berfikir secara kritikal, masalah, lebih mahir dalam proses mencari dan menyusun maklumat, bermotivasi dalam pembelajaran dan sebagainya. Ianya juga menggalakkan pembelajaran aktif berlaku di samping pembelajaran secara kolaboratif dan juga kooperatif. Ini seterusnya menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan di dalam kehidupan sebenar khususnya di dalam kerjaya profesional mereka kelak ( Roblyer dan Edwards, 2000; Jonassen et al., 1999 ). Apabila para pelajar berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran secara aktif, mereka akan mendapati proses pembelajaran lebih menyeronokkan serta memberi kepuasan berbanding proses pembelajaran yang dilalui secara pasif ( Fry dan Coe, 1980 ). Dalam keadaan yang sedemikian, proses pembelajaran seseorang pelajar akan ditingkatkan sama ada secara kendiri mahupun melalui kerjasama di kalangan ahli dalam kumpulan. Persekitaran pembelajaran sebegini juga mampu menyediakan pelajar dalam menangani proses pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi sama ada dari sudut interaksi mahupun tingkah laku ( Johnson et al., 1986 ).



0 comments: