BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 2 Februari 2010

KAEDAH MENGURUSKAN WAKTU BELAJAR



Waktu merupakan sesuatu yang tidak boleh dikawal, dicepatkan, diberhentikan atau dilambatkan. Kita memerlukan banyak masa atau waktu tetapi kita tidak tahu di mana harus kita mencari masa. Masa merupakan sesuatu yang amat bernilai lebih bernilai daripada wang ringgit. Kehilangannya atau terlalai sesaat sudah pasti kita tidak dapat semula waktu tersebut walaupun wang dilabur berjuta ringgit kerana masa takkan mungkin dapat ditukar ganti. Pepatah ada mengatakan ‘lalai sesaat derita seumur hidup’. Antara kaedah-kaedah pengurusan masa yang berkesan adalah seperti berikut:

A) Mengumpulkan Bahan Yang Anda Perlukan

Langkah pertama sebelum anda membahagikan masa adalah anda perlu mengenal pasti terlebih dahulu maklumat-maklumat penting seperti jadual kuliah, jadual kerja anda, tarikh-tarikh peristiwa penting keluarga, pengembaraan atau percutian serta aktiviti-aktiviti peribadi di samping menyenaraikan aktiviti-aktiviti tambahan yang anda ingin sertai.

Untuk mengurus masa secara berkesan dalam konteks jangka masa panjang adalah dengan membuat sebuah papan projek yang diletakkan di dinding kosong di hadapan meja belajar anda. Dengan berpandukan tugas-tugas umum cuba bahagikan kepada beberapa komponen, misalnya:

Minggu Pertama

Mencatatkan perancangan tugasan ilmiah (assignment) yang melibatkan jangka pendek dan jangka panjang.

Minggu Kedua

Mengadakan perbincangan secara berkumpulan dan agihkan tugasan kepada individu.

Minggu Ketiga

Tugasan dibuat oleh setiap ahli kumpulan dan perbincangan terbuka mengenai tugasan masing-masing dibuat secara berterusan.

Minggu Keempat

Mencatatkan segala butiran pada papan projek dan merumuskan segala topik tugasan yang telah dilakukan dan diperincikan. Penambahbaikan atau pembetulan tugasan dilaksanakan.

B) Menggunakan Kalendar Perancangan Penggal

Ia boleh digunakan seiring dengan penggunaan papan projek anda dengan memindahkan semua maklumat yang ada pada papan projek ke dalam kalendar perancangan penggal. Seterusnya masukkan jadual mingguan kelas / kuliah, jadual kerja rumah, acara-acara keluarga, percutian dan kegiatan kelab atau kokurikulum. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan di antara papan projek dengan kalendar perancangan penggal di mana papan projek hanya merupakan ringkasan jadual manakala kalendar perancangan penggal mengandungi semua maklumat penjadualan. Kalendar perancangan penggal boleh menggantikan papan projek sekiranya anda tidak suka menggunakan papan projek.

Ia menjadi penting apabila anda berada dalam persekitaran universiti atau kampus khususnya apabila dibebani dengan tugasan yang banyak, menulis kertas projek dan menulis laporan serta aktiviti kokurikulum. Dengan adanya papan projek ini anda dapat meneliti sekali lalu perjalanan aktiviti yang perlu dilakukan tanpa mengambil masa yang lama untuk menyemak aktiviti telah disenaraikan, apakah ianya telah dilakukan, dan tindakan susulan bagi setiap aktiviti.

C) Merancang Aktiviti Harian Dan Mingguan

Pembentukan perancangan harian dan mingguan amat penting bagi anda kerana ia dapat membantu dan memberikan garis panduan kepada anda untuk melakukan sebarang program yang dirancang berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Ia juga dapat mengelakkan anda membuang atau membazirkan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tiga langkah perlu diikuti dalam membuat perancangan aktiviti harian dan mingguan. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

Langkah Pertama : Rangka Satu Senarai “Apakah Yang Akan Dibuat”

Langkah pertama yang diambil oleh anda untuk membentuk atau merancang aktiviti harian dan mingguan mestilah terlebih dahulu meneliti papan projek dan kalendar bagi memastikan tugasan yang seharusnya dilakukan pada minggu tersebut. Tugasan tambahan juga perlu dimasukkan jika ada. Misalnya ada janji temu dengan pensyarah atau mesyuarat dan sebagainya dan ianya mestilah disusun mengikut kepentingan tugasan tersebut.

Langkah Kedua : Beri Keutamaan Kepada Tugas

Seandainya anda tidak ada perancangan untuk mengutamakan tugas, sudah pasti anda anda akan menghadapi kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan. Ini kerana seseorang itu tidak meletakkan keutamaan yang penting diutamakan dan yang kurang penting dikemudiankan, juga mengelakkan diri daripada membuat tugasan mengikut gerak hati yang akhirnya membebankan diri individu tersebut. Apabila anda mampu memastikan keutamaan tugasan ia akan dapat memastikan supaya tugasan dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan dan mengikut jadual asal.

Langkah Ketiga : Penuhkan Jadual Harian

Apabila sudah selesai mengesan tugasan mingguan mengikut keutamaan, anda perlu memindahkannya ke dalam jadual harian yang sedia ada mengikut keutamaannya. Anda juga perlu meneliti dan memperhatikan jumlah masa yang diperlukan atau diperuntukan pada setiap tugasan yang perlu disiapkan. Dalam penentuan masa belajar atau membuat tugasan elakkan daripada dipengaruhi oleh minat. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya ketidakseimbangan pembahagian masa. Misalnya anda berminat dengan subjek Pembangunan Sumber Manusia, maka anda menumpukan lebih banyak masa untuk membuat tugasan dan ulangkaji subjek tersebut berbanding subjek lain. Ini akan menyebabkan masa tidak dapat diurus dengan berkesan iaitu terfokus kepada satu subjek dan menidakkan peluang dan ruang untuk belajar subjek yang lain.

D) Jadual Belajar

Bagi seseorang pelajar merangka sebuah jadual belajar adalah satu kemestian, di mana para pelajar perlu mengambil kira banyak faktor untuk menetapkan jadual belajarnya sendiri. Pelajar boleh merangka jadual belajar dengan berdasarkan perkara-perkara di bawah:

1. Cuba peruntukkan masa beberapa jam sehari diperlukan untuk tujuan belajar dan kemudian bahagikan masa tersebut mengikut keperluan.
2. Cuba kira berapa banyak kerja mesti dilakukan menurut keupayaan anda untuk mematuhi jadual waktu belajar anda nanti. Peruntukkan sebanyak mungkin masa untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran sahaja.
3. Kerja sampingan lain hanya anda lakukan jika masa untuk belajar masih berbaki.
4. Anda boleh memilih waktu dalam hari-hari tertentu untuk melaksanakan tujuan ini (kerja-kerja sampingan) dengan sehabis mungkin.
5. Cuba ketepikan masa satu jam atau dua jam setiap hari untuk membuat nota.
6. Anda perlu menulis dan memegang erat motto peribadi seperti ‘biarkan cepat asalkan dapat’, yang bermaksud belajar dan menelaah semua mata pelajaran bermula sejak hari pertama di kelas. Adalah lebih baik dan selamat, daripada baru mulai membuat nota dan menelaah kira-kira seminggu sebelum peperiksaan.
7. Cuba beri keutamaan kepada hal-hal perkuliahan dan pelajaran apabila di rumah atau asrama. Masa yang lebih misalnya pada hari Sabtu dan Ahad bolehlah digunakan untuk aktiviti-aktiviti sampingan.

KESIMPULAN

Masa umpama emas. Satu perumpamaan yang biasa kita dengar saban hari. Ia tidak lain dan tidak bukan menganalogikan atau mengibaratkan nilai masa itu adalah sangat mahal dan sangat rugi untuk sesiapa yang tidak mementingkannya. Sesungguhnya apabila kita menghormati masa, maka kehidupan seharian kita akan menjadi lebih bersistematik, teratur dan efisien. Dalam konteks agama, masa dimartabatkan sebagai satu elemen penting dalam mencorakkan keperibadian seseorang dan peradaban dan perkembangan sesebuah bangsa tersebut. Pengurusan masa merupakan satu entiti yang mampu membentuk kejayaan seseorang di dunia mahu pun akhirat. Masa yang diisi dengan amalan dan pekerjaan yang mulia, dan beribadah kepada Tuhan adalah adalah masa yang digunakan secara berkualiti. Jika dikaitkan unsur masa dengan belajar, tidak dapat disangkal bahawa kaedah belajar dengan pengurusan masa yang mantap akan membuahkan hasil yang cukup besar impak positifnya kepada diri seseorang pelajar.

0 comments: