BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 2 Februari 2010

KONSEP BELAJAR



Belajar adalah penting dalam kehidupan manusia. Tanpa belajar, manusia tidak akan mampu hidup di dunia yang kian mencabar ini. Kita sedia maklum bahawa semua tingkah laku yang dialami dan dilakukan oleh manusia mesti dipelajari dari satu bentuk ke bentuk yang lain. Ini termasuklah tingkah laku yang ditakrifkan sebagai ringkas seperti berjalan, bercakap, menunggang basikal dan sebagainya. Tingkah laku yang kompleks pula seperti bercinta, membenci, membaca, menulis dan lain-lain. Manusia dan haiwan amat perlu belajar daripada pengalaman hasil interaksi dengan alam sekitar (Mahmood Nazar, 1990).


Dalam membincangkan ‘Kemahiran Belajar’ kita seharusnya menyingkap terlebih dahulu apakah definisi frasa ini. Menurut Kamus Dewan (1996) ‘Kemahiran’ ditakrifkan sebagai kecekapan dan kepandaian. Manakala, ‘belajar’ pula diertikan sebagai ‘usaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, menuntut ilmu atau menjalani latihan’ dan sebagainya. Daripada definisi ini dapat disimpulkan bahawa kemahiran belajar adalah ‘kecekapan dan usaha gigih untuk memperolehi ilmu pengetahuan’. Konsep belajar adalah amat sinonim dengan kehidupan seseorang pelajar. Dalam institusi pengajian tinggi misalnya mahasiswa dididik dan diberi ilmu pengetahuan agar menjadi warga masyarakat yang memiliki kemampuan akademik dan tahap profesionalisme untuk menerap, mengembang atau mencipta ilmu pengetahuan, teknologi dan kesenian. Mahasiswa juga harus diasuh dengan saluran yang betul agar menjadi masyarakat berpendidikan yang dapat mempertingkatkan mutu kehidupan bangsa dan negara.


Dalam erti kata lain belajar merupakan segenap fikiran seseorang yang dilakukan dengan penuh perhatian untuk memperolehi pengetahuan dan mencapai kefahaman tentang alam sekitarnya (The Liang Gie, 1994). Jadi, aktiviti belajar mengerah dan menumpukan segenap kemampuan untuk mencedok seberapa banyak ilmu yang ada di dunia ini. Sementara itu, Lester Crow dan Alice Crow (dalam The Liang Gie, 1994) iaitu ahli keterampilan belajar mendefinisikan belajar sebagai:


“…study is that activity which is deliberately pursued for the purpose of obtaining information, acquiring greater understanding, or improving a skill”…


Beliau menggambarkan belajar adalah satu bentuk kegiatan ilmiah yang bertujuan untuk memperoleh pemahaman yang tinggi dan dapat meningkatkan keterampilan seseorang khasnya mahasiswa. Menurut penulis-penulis Indonesia pula, belajar tidak sama dengan studi (study). Belajar dilabelkan sebagai suatu pengertian yang umum. Ianya menjurus kepada perubahan dalam tingkah laku, sikap, pengetahuan atau pun kemampuan seseorang.


Contohnya, kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun yang mula belajar bercakap ataupun menunggang basikal dan memandu kereta bagi orang dewasa. Memang tidak dapat dinafikan studi menurut mereka mempunyai hubungan rapat dengan belajar. Studi dikatakan lebih mengarah kepada aktiviti mempelajari sesuatu yang lebih ilmiah seperti belajar bahasa asing, mendalami sesuatu ilmu pengetahuan dan sebagainya. Mohammad Hatta (1957) dalam bukunya “Tanggung jawab Moril Kaum Inteligensia” cuba untuk mengupas perbezaan belajar dan studi. Menurut beliau, cara belajar adalah mengisi fikiran dengan pelbagai macam pengetahuan yang diterima daripada pensyarah, guru ataupun buku. Manakala studi pula adalah mempelajari sesuatu, memahami kedudukan masalah, mencari pengetahuan tentang sesuatu dalam pandangan, sebab dan akibat, dilihat dari sudut tertentu dan juga dengan kaedah-kaedah tertentu. Ianya bukan kaedah menghafal atau menerima apa saja yang dibentangkan oleh orang lain tetapi lebih kepada memahami dan pemikiran yang lebih kritis (The Liang Gie, 1994).


Menurut Chibnal (dalam Hettich, 1998), beliau mengatakan bahawa belajar merupakan proses untuk mengembangkan pembelajaran, mempelajari soalan-soalan tertentu, untuk pembacaan buku, membuat persediaan dan penulisan esei. Belajar juga merupakan satu proses untuk melukis gambar rajah, peta, graf dan untuk menghadiri kelas dan lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.


Finkel dan Krawitz (dalam Hettich, 1998) pula menekankan bahawa belajar merupakan suatu seni. Adalah mustahak untuk mengetahui kaedah belajar yang tepat oleh kerana semua orang terutama pelajar mempunyai hasrat untuk lulus dengan baik.


dipetik dari buku ‘Resipi Istimewa Untuk Belajar’ terbitan USIM 2007 dengan izin penulis.

0 comments: