BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 2 Februari 2010

PERPUSTAKAAN PERMAINAN




Malah dalam dua tahun awal penubuhannya e2L memang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan produk i-play, serta usaha membangunkan kurikulum untuk program sijil dan diploma bagi institusi penyelidikan awal kanak-kanaknya dan produk konsultansi di bawah satu lagi anak syarikatnya, Total Genius Sdn Bhd.

"Umpamanya untuk produk set kotak permainan, kami pastikan kanak-kanak lima tahun disediakan dengan kemudahan bersesuaian dengan keperluan mental seusianya dan kurikulum kami pula harus menepati konsep pendidikan awal kanak-kanak dan khidmat konsultansi kami bersesuaian dengan kehendak pembukaan pusat asuhan kanak-kanak atau bilik permainan sesebuah pusat aktiviti kanak-kanak.

"Kami juga memastikan program membentuk keperibadian dan kompetensi kanak-kanak e2L ini selaras dengan suasana Malaysia. Oleh itu perkhidmatan yang kami tawarkan, pembentukan dan bekalannya adalah berasaskan penyelidikan kerana jika mahu membuat keputusan yang bermaklumat, perlu ada data yang tepat yang terkini dan terkumpul dalam cara yang disahkan secara akademik," katanya.

Dua penyelidikan terkini yang dijalankan e2L ialah keberkesanan program perpustakaaan permainannya dan keberkesanan perpustakaan permainan berlatarkan Orang Asli. Perkhidmatan perpustakaan permainan yang ditawarkannya disasarkan kepada perbadanan untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Setakat ini e2L membantu membuka 22 perpustakaan permainan yang dibiayai beberapa syarikat dan badan korporat dan idea perpustakaan ini disokong oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan kebanyakannya ditempatkan di perpustakaan desa di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Johor.

Yang menariknya e2L telah membantu membuka lima perpustakaan permainan di petempatan Orang Asli di Desa Temuan, Bukit Lanjan , Selangor, Sungai Tiang di Taman Negara Royal Belum Temenggor, Kampung Semelor dan Air Banun ketiga-tiganya di Gerik, Perak serta Kampung Orang Asli Sungai Bil, Slim River, Perak.

Setiap perpustakaan akan mengandungi sekurang-kurangnya 20 kotak permainan, 12 kotak siri permainan pusat pembelajaran dan lapan siri kotak permainan bertema.

Menurut Farah Mahami, perpustakaan paling mahal yang e2L tolong bukakan berharga RM130,000, lengkap dengan segala bahan untuk konsep "Belajar melalui Bermain".

"Dalam hal ini, kami membekal, kami buka dan kami latih petugas yang mengendalikan perpustakaan permainan ini dan kami bekerjasama dengan Perpustakaan Negara yang menyediakan perpustakaan dan sukarelawannya," katanya.

Semua urusan mentadbir, membekal, memantau dan menyalurkan maklumat serta data bimbingan tadika, pusat aktiviti kanak-kanak dan perpustakaan permainan ini dilakukan melalui rangkaian sistem ICT i-play yang efisien.

e2L mempunyai i-play portal untuk sesiapa yang berminat dengan perkhidmatannya, i-play TLManager, untuk kemudahan pengurusan perpustakaan permainan, i-play TaskaManager dan TadikaManager untuk membantu pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak dan i-play centralised reporting system - sistem web yang membolehkan organisasi menerima dan menguruskan data dari semua pusat di bawah jagaan atau bidang kuasanya.

Sistem pengurusan penjagaan kanak-kanak ini (CCMS) membolehkan pengurusan sesebuah tadika misalnya menggunakannya untuk merekodkan semua butiran kanak-kanak di bawah penjagaannya, latar belakang keluarga,, kewangan dan bajet operasi serta prestasi kanak-kanak supaya apabila diperlukan, maklumat itu boleh didapatkan dengan segera dan mudah.

"Ini bagi memastikan aspek urusan pentadbiran boleh dilakukan dengan mengambil hanya 20 peratus masa anda supaya yang selebihnya 80 peratus lagi boleh ditumpukan kepada pembinaan diri kanak-kanak," kata Farah Mahami.

0 comments: